MENJANA PERUBAHAN- PEMILIHAN UMNO 2011? – Melayuraya daily – Dato’ Azizan Yaakob.

Tahun hadapan genap tiga tahun pemilihan UMNO bagi penggal 2008-2011. Mengikut perlembagaan, UMNO dikehendaki mengadakan pemilihan kepimpinan baru bagi tempoh 2011-2014. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Presiden parti samada perlu dilakukan atau sebaliknya.

Menoleh kebelakang, sudah menjadi tradisi menagguhkan pemilihan parti selepas pilihanraya umum. Penangguhan adalah sah diperuntukan dalam perlembagaan. Mengambil kira amalan itu sudah pasti pemilihan parti diadakan selepas pilihanraya umum ke 13. Praktik menangguhkan pemilihan parti ini bermula zaman penghujung pemerintahan Tun Dr.Mahathir. Diteruskan oleh Pak Lah. Bagaimanapun Zaman PM Najib amalan itu mungkin berubah. Ini berdasarkan corak pemikiran PM Najib tidak gemar pada yang statik, jumud dan beku. Kereta baru – injin baru.

Jika Presiden berpendapat perlu diadakan pemilihan parti ada baiknya bagi menguji pindaan perlembagaan samada pindaan itu berkesan untuk membenteras rasuah dan politik wang serta amalan buruk untuk merebut jawatan. Mana-mana pemimpin yang berdegil tanpa peduli terus mengamalkan politik wang dan amalan buruk itu boleh disaring ketika pencalonan PRU 13. Sudah tentu mereka agak ‘kecut perut’, apa ertinya menang jawatan tetapi tidak menjadi calon PRU.

Pemilihan dapat menggerakan parti, dalam suasana tegang tetapi meriah dimana pemimpin kembali keakar umbi bagi meraih sokongan ahli-ahli. Mereka bekerja, berkempen secara tidak langsung sindrom selesa dapat dikurangkan. Jika tiada pemilihan, parti kelihatan tidak bermaya dan lembab. Disetengah kawasan khususnya dinegeri-negeri yang jatuh ketangan Pakatan Rakyat kelihatan UMNO seperti lumpuh. Dengan adanya pemilihan akan lahir gulungan yang berazam untuk menawan semula kawasan dan negeri masing-masing pada misi kempen mereka.

Sekali air bah sekali pasir berubah. Dengan pemilihan parti akan ada kepimpinan lama mengundurkan diri atau tewas dan kepimpinan baru mengambil tempat . Pergantian kepimpinan ini parti dapat menjana tenaga baru bagi kekuatan parti. Kepimpinan baru lebih mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat seangkatan dengannya. Proses peralihan berjalan lancar. Kepimpinan yang ‘out dated’ tidak lagi mampu menghadapi zaman baru. PRU 13 pengundi angkatan baru lebih dominan. Itulah rahsia dan rasionalnya disebalik semangat perlembagaan menetapkan pemilihan setiap tiga tahun sekali. Perlebagaan telah memberikan garis panduan tentang perubahan kepimpinan secara terancang sesuai dengan zaman.

Tun Dr. Mahathir membuat perubahan ketika dihujung hayat pemerintahanya. Waktu permulaan Tun Dr Mahathir berkuasa pemilihan parti diadakan dua tahun sekali mengikut perlembagaan. Dicawangan-cawangan setiap tahun sekali. Pada ketika itu Tun Dr Mahathir tidak pernah menangguhkan pemilihan parti. Tun Dr. Mahathir dapat mengubah UMNO lebih serasi dengan jalur kepimpinannya. Kepimpinan sebelum Tun Dr.Mahathir juga begitu. Mereka menetapkan pemilihan tepat pada waktu yang dituntut oleh perlembagaan parti. Mereka tidak bergayut pada kuasa masa kecederaan alias masa tambahan.

Pak Lah mengikuti jejak melanjutkan tempuh pemilihan parti sebagaimana Dr.Mahathir lakukan diakhir-akhir kekuasaannya. Apa terjadi pada UMNO dan BN ? . Pak lah kepenatan dalam masa kecederaan yang dia sendiri tambahkan. Tidak berani mengubah maka diubah!. Sesuatu terjadi bukanlah dengan satu sebab. Antara beratus-ratus sebab, Ini adalah perkara pokok. Menggerakkan seluruh jentera parti dalam satu masa biasanya terjadi dalam dua keadaan. Pertama, pilihanraya umum dan kedua, masa pemilihan parti. Satu peperangan dan satu lagi latihan.

Menyebut tentang pemilihan parti juga ada dua keadaan. Bagi penyandang jawatan sekarang tentu tidak bersetuju kerana serba kemungkinan akan berlaku. Mereka yang tidak mempunyai jawatan pasti menjerit gembira bahawa mereka boleh mencuba nasib menawarkan diri. Pemimpin yang paling berdukacita adalah mereka yang menjadikan jawatan sebagai milik peribadi. Jawatan, telah banyak berbudi kepada dirinya, daripada kosong menjadi penuh-melimpah dan dari miskin menjadi kaya. Dari kecil menjadi gedang. Mereka beraktiar agar jawatan itu diwarisi oleh anak cucu-cicitnya.

Presiden dan kepimpinan tertinggi parti sudah tentu berhasrat mengubah banyak perkara dalam parti pemerintah itu sebelum tangan lain mengubahnya. Harus diingat bahawa zaman baru ini jika pemimpin tidak merancang perubahan, rakyat akan membuat perancangan. Bagi memanaskan kembali injin UMNO yang sejuk diserata-rata pertimbangan untuk mengadakan pemilihan parti 2011 khususnya diperingkat bawah (Bahagian/cawangan) adalah satu altenatif diyakini berkesan. Jika tidak UMNO hanya ada pada rangka terutama dinegeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat. Fikirlah sendiri…

No comments: