Pemimpin sering menyeru setiap kali ada pertemuan menekan tentang berbagai jenis kesetiaan. Ini termasuk setia kepada negara, setia kepada parti, setia kepada perjuangan, setia kepada rakan seperjuangan dan berbagai lagi. Oleh kerana terlalu kerap penekanan perkataan itu sekumpulan anak muda yang masih samar tentang bentuk-bentuk kesetiaan yang dituntut maka mereka meminta penjelasan saya.
Saya menerangkan makna kesetiaan itu secara ringkas mengikut versi saya. Lain padang lain belalang. Lain orang lain pula pandangan. Ada perkara mungkin sama dan ada yang mungkin berbeza. Anggaplah perbezaan itu sebagai keluasan berfikir dan medan yang kita belum jelajahi. Mengakui adanya kehidupan maka kita mengakui perbezaan.
Setia biasanya dikaitkan dengan hubungan sesama manusia yang akrab terbit dari perasaan ikhlas dan jujur, bertolak ansur serta bertanggung jawab. Sesuatu yang ikhlas adalah sesuatu yang menyenangkan hati. Umpamanya kita merasa lega dan gembira setelah kita menunaikan zakat fitrah menjelang Aidilfitri. Itu tandanya kita ikhlas kesetiaan kita kepada Allah swt.
Kadang-kala kita ada rasa terpaksa dan tidak berapa gembira bila kita sedang makan disebuah restoran tidak selesa kita ditadah oleh peminta sedekah. Kita memberinya juga tetapi hati kita tidak gembira. Itu tidak ikhlas pada pandangan saya. Lain kali kalau ada perasaan tidak gembira itu lebih baik jangan bagi. Sebenarnya, jujur, setia dan ikhlas itu ada cahayanya yang boleh dirasa dan diukur oleh hati kita.
Hubungan yang baik tidak ada ikatan dalaman yang melahirkan kegembiraan tidak bertahan lama. Kesetiaan boleh terbahagi kepada banyak jenis. Antranya hubungan sesama manusia yang melibatkan antara individu dengan individu. Individu dengan dengan institusi sosial, politik, agama, bangsa dan negara.
Sepasang kekasih akan menuntut kesetiaan tidak berbelah bagi buat memupuk cinta. Setia itu berdasarkan kepada sejauh mana konsistennya cinta. Cinta longgar, setia pun ikut kendur. Suami isteri menuntut kesetiaan membina sebuah rumah tangga yang bahagia. Kesetiaan hliang, kebahagiaan pun bertebangan.
Dalam persahabatan juga memerlukan setia kawan. Sahabat adalah orang boleh dikongsikan kehidupan. Kawan hanya kenalan secara luaran. Sahabat boleh suka dan duka bersama. Kawan hanya untuk suka-suka sahaja. Bila ada kawan yang boleh suka dan duka, bermakna ia masuk ketingkat sahabat. Sebab itu, kawan-kawan Rasulullah dikelaskan para sahabat kerana mereka sanggup jatuh bangun bersama.
Setiap agama mengajar penganutnya setia kepada Tuhan. Taat, patuh dan tunduk terhadap manhaj atau peraturan yang ditetapkan. Sebuah negara menuntut rakyatnya setia kepada negara dengan kepatuhan kepada undang-undang, peraturan saling hormat menghormati antara satu dengan lain.
Parti-parti politik juga menuntut kesetiaan dari ahli-ahlinya menerusi patuh kepada perlembagaan dan peraturan terkandung didalamnya. Taat ertinya patuh kepada rukun-rukun yang membina kesetiaan.
Kesetiaan tidak datang bergolek. Ia harus dipupuk, dibaja, diselara dan dipertahankan serta memerlukan pengorbanan. Kesetiaan ada kontraknya tersendiri. Ia merupakan persetujuan yang dinyata atau tidak antara pihak-pihak yang bersetia. Ada tawar menawar, ganjaran serta hormat menghormati. Tuhan sendiri menyediakan ganjaran dengan pembalasan dunia dan akhirat. Negara pula menawarkan kemakmuran dan hak-hak kemanusian.
Kesetiaan tidak berdiri sendiri tanpa tawar menawar. Setia kawan diwarnai oleh sikap tolong menolong, susah senang bersama, sama-sama berkorban dan sama-sama tenggelam timbul dalam perjuangan hidup.
Kesetiaan terbahagi kepada dua: kekal dan terhad. Kekal bermakna setia sampai kemati. Terhad bergantung kepada tempuh kontrak. Contoh, seorang akan setia kepada majikan selama tempuh dia berkerja.
Bagaimana kesetiaan dalam politik? Mereka bertanya. Mengapa? Saya tanya mereka. Mereka kata "ada kelainan kami nampak pada kesetiaan orang politik, bukan begitu?" kata mereka lagi. Aduh.. susah itu. Sebab ia menyentuh gelagat politik yang sentiasa berubah.
Saya berpendapat bahawa ada dua bentuk kesetiaan dalam politik. Kesetiaan umum dan kesetiaan kepada kepentingan. Kesetiaan umum adalah kesetiaan kepada parti, perlembagaan, peraturan dan tujuan-tujuannya.Ini keutamaan. Kedua, kesetiaan kepada kepentingan bermakna kesetiaan kepada pemimpin dan kepentingan penyertaannya dalam politik. Kesetiaan kepada pemimpin kerana pemimpin merupakan actor yang menentukan jatuh bangun sebuah organisasi politik.
Dalam politik jarang terdapat setia kawan yang kekal. Kesetiaan bergantung kepada kepentingan seseorang. Seseorang pemimpin yang tidak lagi dapat memenuhi kepentingan akan hilang setia kawan dari pengikut-pengikutnya. Ada gula maka berkerumunlah semut.
Seseorang yang mencari sahabat setia dalam politik sukar ditemui dan akan kecewa. Gaya setia politik agak berbeza. Setia kawan itu hanya berkait dengan kepentingan diri semata-mata. Seorang kawan itu hanya berguna jika dapat memenuhi tuntutan politik. Contohnya, seorang penentang mungkin ditawarkan serta- merta sesuatu kepentingan jika menukar sokongan memihak kepada seseorang pemimpin yang memerlukannya.
Seorang pemimpin sering 'take for granted' terhadap kawan setianya. Namun demikian tidak semua sedemikian. Ada pemimpin sangat menghargai kesetiaan. Kerana ia berpendapat kedudukannya sebagai pemimpin itu bercahaya dan berpijak diatas kesetiaan.
Apa yang menyebabkan kesetiaan itu pecah?. Sesuatu perkara ia tidak terjadi dengan satu sebab melainkan banyak sebab. Faktor yang utama adalah apabila rukun-rukun kesetiaan itu tidak dipatuhi dan dikhianati maka berakhirlah sebuah kesetiaan itu. Seorang isteri jika dimarahi, dirusuh, diungkit setiap hari maka akan hilanglah kesetiaannya. Sebuah parti politik sudah menyeleweng dari tujuan asal penubuhannya.
Seorang pemimpin yang hanya menjadikan kawan-kawannya hanya untuk melepaskan tengkuknya sahaja setiap kali dia memerlukan, setelah dia lepas ia melupakan kawannya maka lama kelamaan kawan-kawan itu sedar bahawa mereka hanyalah jambatan, kesetiaan itu akan luntur.
Sebagaimana saya kata tadi, ini bukanlah pandangan universal sebaliknya hanyalah pandangan versi saya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang saya lalui kerana saya menhargai kesetiaan tetapi jarang ditemui didalam politik.
Akhirnya, saya percaya falsafah 'tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal dalam politik'. Politik adalah papan hitam yang ditulis dengan kapur hitam 2 x 5 = 11. Saya bertambah matang dan mula memahami begitulah budaya resam politik. Hubungan dalam politik adalah hubungan bersekepentingan.
TIDAK MENGHARAP
No comments:
Post a Comment